Objektif
pertama membincangkan kaedah pengintegrasian teknologi dalam pendidikan. Aspek
yang difokuskan adalah lebih kepada peranan guru sebagai penyampai maklumat
yang dinilai dari segi pengetahuan, sikap dan kemahiran guru-guru Bahasa Melayu
dalam mengaplikasikan teknologi ini dan juga pelajar sebagai penerima
maklumat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Penekanan diberikan oleh guru
terhadap kaedah pemilihan perkakasan dan perisian serta bagaimana hendak
mengaplikasikannya dalam pengajaran bahasa, khususnya Bahasa Melayu. Pengajaran
yang disertakan dengan bahan bantu belajar yang terkini akan dapat menarik pelajar
mempelajari sesuatu yang baharu dalam bidang pendidikan. Baharom (2004)
menyatakan bahawa pembelajaran yang aktif dijangka berlaku dalam persekitaran
multimedia yang membolehkan pelajar membina pengetahuan dalam pelbagai
orientasi, sesuai dengan gaya dan keperluan pelajar. Dengan cara ini, guru-guru
Bahasa Melayu dapat meningkatkan lagi kaedah pengajaran mereka melalui
pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu berpandukan inovasi teknologi
pendidikan. Bagi memastikan kejayaan untuk menggunakan teknologi dalam
pengajaran dan pembelajaran (PdP), pembudayaan teknologi dalam kalangan guru
dan pelajar dari segi infrastruktur sosial dan fizikal yang lengkap serta
sempurna dengan infrastruktur teknologi seperti sistem rangkaian dan bahan
pembelajaran adalah penting dan diperlukan. Sekolah yang tidak menyediakan
pelajar-pelajarnya untuk menggunakan aplikasi tersebut adalah dianggap gagal
dalam mencapai misi pendidikannya (Azliza 2004).
Objektif
kedua membincangkan cabaran penggunaan teknologi dalam pengajaran dan
pembelajaran. Antara aspek yang dibincangkan termasuklah masalah yang sering
dihadapi oleh guru ketika menggunakan teknologi di dalam bilik darjah dan
cabaran yang sedang atau akan dihadapi oleh guru ketika mengajar menggunakan
teknologi. Walaupun penggunaan teknologi seperti komputer dan internet menjadi
semakin penting, namun sering kali timbul pelbagai masalah kepada banyak pihak
terutamanya kepada guru dan pelajar. Masalah-masalah ini perlu dihuraikan bagi
makluman dan pengetahuan semua pihak, khususnya dalam kalangan pendidik Bahasa
Melayu bahawa teknologi juga memberi kelebihan dan juga kekurangan kepada
guru-guru dalam melaksanakan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Segala kelebihan dan kekurangan dalam
penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu ini
akan membantu guru-guru Bahasa Melayu merancang dengan baik pengajaran dan
pembelajaran (PdP) mereka.
Objektif
ketiga membincangkan kepentingan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Secara khusus, aspek yang ditinjau adalah dari segi hubungan antara teknologi
maklumat dan pendidikan, kepentingan teknologi maklumat dalam pendidikan masa
kini serta implikasi teknologi terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru
Bahasa Melayu. Mengetahui kekuatan hubungan antara tanggapan kegunaan dan
tanggapan mudah guna dengan penggunaan adalah penting kepada pereka bentuk
teknologi. Bagi memastikan pengguna menggunakan teknologi, pengguna terlebih
dahulu mempercayai atau menganggap sesuatu sistem itu sebagai berguna.
Sebaliknya, jika pengguna tidak mempercayai kegunaan sistem itu, individu
tersebut tidak akan menggunakannya walaupun semudah mana pun teknologi baru
yang diperkenalkan itu. Oleh itu, tanggapan mudah guna adalah tidak sepenting
dengan tanggapan kegunaan kerana kesukaran menggunakan sistem boleh diatasi
sekiranya pengguna menganggap sistem tersebut berguna kepadanya.
Secara
keseluruhannya, kesan kemajuan teknologi telah menyentuh segala aspek kehidupan
manusia yang mana ia berjaya mengubah cara manusia bekerja, belajar dan
berhibur. Impak nyata boleh dilihat melalui penghasilan satu cetusan idea baru
bagi reformasi pendidikan iaitu penggunaan pengintegrasian teknologi sebagai
medium terkini dalam sistem pendidikan negara (Nor Azan 2000). Negara Malaysia
sebagai sebuah negara yang sedang membangun telah mensasarkan status negara
maju menjelang tahun 2020. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, bagi
merealisasikan Wawasan 2020 kerajaan tidak mahu ketinggalan dalam arus
pembangunan teknologi. Perubahan ekonomi dan pembangunan sumber tenaga manusia
abad ke-21 amat bergantung pada peranan serta liberalisasi sistem pendidikan.
Sementara Mohd Arif dan Rosnaini (2003) menyatakan bahawa pengintegrasian teknologi
berupaya menjadi tunjang yang penting dalam urusan pengajaran dan pembelajaran
(PdP) serta pengurusan sekolah. Justeru, pihak kerajaan melaksanakan pelbagai
program untuk meningkatkan kebersediaan dan penggunaan teknologi dalam kalangan
guru dan pelajar dengan kemahiran-kemahiran teknologi terkini. Objektifnya
adalah untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan di samping
menyediakan tenaga kerja yang berpemikiran dan celik teknologi untuk memenuhi
kehendak pasaran abad ke-21. Jelasnya, penggunaan teknologi semakin penting
dalam menjana dan memperkembangkan idea dan kreativiti para pendidik dalam
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) khususnya dalam kalangan guru Bahasa
Melayu. Dengan erti kata lain, pengintegrasian teknologi telah mengubah cara
guru mengajar dan cara pelajar belajar. Kemudahan teknologi sudah menjadi satu
keperluan dalam banyak bidang tugas antaranya dalam dunia pendidikan. Terdapat
kebaikan dan kelemahan yang telah dikenal pasti dengan penggunaan teknologi
dalam pendidikan. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagi memastikan
pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran tidak mendatangkan
kesan buruk kepada pelajar mahupun institusi pendidikan itu sendiri.